Thursday, November 12, 2009

Duri-duri Kehidupan


Para da'ie yang telah memilih jalan dakwah sudah pasti akan diuji dengan pelbagai bentuk ujian. Jalan ini tidak ditaburi dengan bunga-bunga tetapi ia ditaburi dengan duri-duri tajam yang menyakitkan yang akan membantut serta menghalang perjalanan para pendakwah. Inilah jalan yang telah ditempuhi oleh Rasulullah saw dan para sahabat serta generasi terdahulu yang mengikut jejak langkah mereka.

As-syahid Imam Hassan Al-Banna berkata: "Ketidakfahaman rakyat pada hakikat Islam akan menjadi ujian kalian. Ulama' rasmi pemerintah akan menjadi musuh kepada kalian. Setiap pemerintah berusaha membatasi amal kalian dan memasang halangan di jalan yang kalian tempuh. Mereka akan meminta bantuan dari manusia yang berjiwa lemah dan berhati sakit. Sebaliknya akan berlaku kasar kepada kalian. Kerana itu kalian akan dipenjara, disiksa, diusir, rumah-rumah kalian digeledah, harta kalian dirampas dan tuduhan keji dilontarkan dengan harapan dapat mengurangkan wibawa kalian. Kemungkinan ujian ini akan berlangsung dengan lama. Sedarilah, saat itu kalian baru mula menapakkan kaki di jalan yang telah ditempuh oleh para mujahid"

Jika kita mampu bersabar, bertahan serta terus thabat dengan ujian-ujian tersebut, ketika itu barulah kita mula menapakkan kaki kita di jalan dakwah yang sebenar. Ujian-ujian itu adalah duri-duri kehidupan sebagai seorang da'ie. Bunga-bunga kehidupan di dunia hanya bersifat sementara. Kurnia Tuhan di sana kelak itu lebih baik dan lebih kekal.

Ayuh para da'ie, persiapkanlah diri kalian untuk menempuh duri-duri tersebut!


Farid Nazmi
Bangalore
Nov 12, 2009

Wednesday, November 11, 2009

Setiap Kesusahan Itu Akan Datang Bersama Kesenangan Dan Kemanisan

Alhamdulillah, program yang dirancang sebelum ini selamat dilaksanakan pada penghujung minggu lepas.
Medicine Coffee Shop
Moments For Palestine 3
Saya sedia maklum, bukan mudah untuk mengadakan aktiviti-aktiviti sedemikian. Masa terpaksa dikorbankan, dan duit juga harus dihulurkan untuk merealisasikan matlamat kita. Akan ada kesusahan namun setiap kesusahan itu akan datang bersama kesenangan dan kemanisan.

Jutaan terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung mahu pun tidak. Jutaan penghargaan buat mereka yang memberikan sokongan. Moga Allah swt membalasnya dengan sesuatu yang tidak kita sangkakan.



Jazakallah.

Farid Nazmi
Bangalore
Nov 11, 2009

Friday, November 6, 2009

Perjalanan Masih Lagi Jauh

Entah mengapa hati ini terasa sangat hiba ketika menunaikan fardhu Isya' di masjid tadi. Selesai sahaja solat, tangan ditadah namun lidah terkelu ~ tidak tahu apa yang mahu dipohon. Hanya air mata yang mengalir.

Terkesan dengan sifat Maha Penyayang Allah swt. Seringkali menzalimi diri sendiri, namun Dia tetap berada di sisi. Syukur padaMu ya Allah kerana masih lagi menyintai diri ini.

Perjalanan masih lagi jauh. Dan tidak tahu bilakah pengakhiran kepada perjalanan tersebut. Tidak boleh terus berada di takuk lama. Harus segera bangkit dan terus bangkit.

Mohon kekuatan, pimpinan serta redhaMu wahai Tuhan sekalian alam. Dan thabatkanlahku di jalanMu.


Farid Nazmi
Bangalore
Nov 6, 2009

Thursday, November 5, 2009

Apa Lagi Yang Kita Tunggukan?

Adakah benar jika saya katakan bahawa sebahagian besar masyarakat Muslim di seluruh dunia mengambil Islam itu hanya pada ibadah khusus sahaja seperti menunaikan solat fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat dan melaksanakan ibadah haji. Bagi mereka yang ada rezeki lebih pula, mungkin duit itu mereka salurkan dalam bentuk kebajikan. Mungkin benar dan mungkin tidak.

Namun syukur itu tetap dipanjangkan kepadaNya kerana sekurang-kurangnya mereka masih menunaikan kewajipan mereka sebagai hamba Allah swt. Hanya Dia yang layak untuk menentukan siapa yang layak menerima payung redhaNya.

Apa yang saya mahu ingatkan di sini hanyalah; agama itu tidak hanya terhenti di situ sahaja. Kesyumulan itu ada pada Islam. Dari saat pertama kita bangkit daripada tidur hinggalah ke saat terakhir sebelum kita kembali tidur, semuanya adalah beragama jika kita memahami konsep sebenar hidup beragama.

Ramai yang melihat, pabila kita menjadi seorang yang hidupnya penuh dengan nilai 'keagamaan', kita akan menjadi seorang yang ketinggalan dan tidak mampu untuk mencapai kejayaan yang besar di dunia. Persepsi sebegini, seharusnya kita pecahkan. Kita perlu tunjuk bahawa dengan hidup beragama, kita dapat pergi jauh, sejauh di luar jangkauan kita. Dengan hidup beragama, kita akan beroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia begitu juga di akhirat kelak insya Allah.

Sejarah telah membuktikannya. Apa lagi yang kita tunggukan? Ayuh pemuda Mukmin, tugas ini terletak pada bahu kita. Siapa lagi yang mahu lakukan kalau bukan kita!


Farid Nazmi
Bangalore
Nov 5, 2009

Wednesday, November 4, 2009

Moments For Palestine 3: Al-Aqsa Di Dalam Bahaya, Di Manakah Salahuddinnya?



Keperitan mereka adalah keperitan kita
Kesengsaraan mereka adalah kesengsaraan kita
Dan perjuangan mereka adalah perjuangan kita.


Ayuh para Muslim, bangkitlah kalian daripada 'tidur yang lena'!

Farid Nazmi
Bangalore
Nov 4, 2009

Tuesday, November 3, 2009

Niat

Niat adalah teras kepada segala amalan.

Amalan yang baik mestilah disertakan dengan niat yang baik. Amalan yang buruk atau amalan yang baik tetapi dijalankan tidak mengikut syara', tidak membawa apa-apa faedah walau pun dilakukan dengan niat yang baik. Demikian juga amalan yang baik jika diniatkan bukan kerana Allah swt, contohnya kerana mahu menunjuk-nunjuk atau kerana suatu tujuan duniawi walau pun nampak keharmonian pada amalan tersebut, maka ia tidak memberikan apa-apa faedah.

Ulama' ada berkata:
'Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi besar dan suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat.'

Sesuatu amalan itu dibalas berdasarkan niat pelakunya.


Jazakallah
Farid Nazmi
Nov 4, 2009

Monday, November 2, 2009

Tahniah

Alhamdulillah.

Ucapan tahniah mahu ditujukan buat mereka yang telah terpilih untuk mengemudi Malaysian Student Association(MSA) Bangalore.

Kepercayaan telah diberikan buat anda semua untuk menjadi perwakilan kami. Laksanakanlah amanah dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.

Perbaharuilah niat. Insya Allah, moga mendapat pimpinan serta berkahNya.


Farid Nazmi
Bangalore
Nov 2, 2009