Tuesday, December 15, 2009

Rumah Tangga Islami - Baitul Muslim

Memperbaiki diri, meningkatkan maqam dan kedudukan di sisi Allah serta mengajak manusia lain kepada Allah adalah antara kewajipan asasi pabila berada di atas jalan ini iaitu jalan dakwah.

Di samping kewajipan itu, terdapat satu lagi kewajipan yang tidak kurang peri pentingnya, iaitu mendirikan rumah tangga Islami. Sebelum itu, individu Muslim haruslah dibentuk terlebih dahulu, dipersiapkan untuk menjadi Muslim yang sejati yang menjadi contoh Islam yang sahih dan teladan yang patut dicontohi.


Kita sangat-sangat memerlukan rumah tangga Muslim yang boleh diteladani untuk menjadi tiang yang kuat di dalam pembangunan masyarakat Islam. Setiap keluarga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat. Kuatnya masyarakat itu hanya lahir daripada keluarga Muslim. Lemahnya masyarakat itu pula adalah kesan daripada keluarga hancur.

Rumah tangga itu merupakan tempat semaian bagi tunas-tunas baru yang dididik dan dibentuk dengan keteguhan peribadi yang akan mencorakkan hidup mereka, menjadi generasi mapan yang akan menjadi pewaris tugas besar Rasulullah saw. Sangat benarlah sabda Rasulullah saw: "Tiap-tiap anak itu dilahirkan di atas fitrahnya-kejadian yang suci dan ibu bapalah yang menjadikan mereka Yahudi, Kristian atau Majusi."

Kita mahukan keteguhan pembinaan baitul muslim kerana kita mahukan kesinambungan generasi berlaku secara terancang untuk melahirkan generasi pelapis yang terbaik. Dan kita juga percaya jika masalah keluarga selesai, banyak masalah dakwah lain juga turut selesai.


Oleh itu, 2 perkara yang mesti kita pastikan berlaku dalam rumahtangga kita adalah; yang pertama perlu wujud kesejahteraan sistem di mana suami isteri perlu memahami fungsi masing-masing, ada komunikasi yang jelas serta perancangan yang tersusun sama ada dari segi kewangan, makanan dan sebagainya. Yang kedua pula adalah perlunya wujud biah tarbawiyyah di mana keluarga adalah madrasah pertama anak-anak mempelajari kehidupan. Insya Allah, rumah tangga yang dibina itu akan berkekalan dan mencapai objektif pendiriannya yang sebenar.

Untuk itu, sahabat-sahabat Muslim sekalian haruslah bersungguh-sungguh dan bersegera untuk mendirikan rumah tangga Muslim yang mithali dan menjadi contoh teladan kepada generasi kini. Ini adalah satu langkah yang penting dan asasi di jalan dakwah Islam. Moga Allah swt mempermudahkan urusan tersebut insya Allah.


Farid Nazmi
Bangalore
Dec 15, 2009

3 comments:

  1. To nur akmal:

    Cepat-cepat la dirikan rumah tangga jika sudah bersedia(",) advice untuk semua juga. huhu.

    ReplyDelete
  2. mn blh~ lmbat ag. rsnya senior farid dl nmpaknya yg lbh layak. :)

    ReplyDelete