Friday, January 8, 2010

Selamat Datang Aryan Shah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah swt, Tuhan sekalian alam. Mabruk kepada Abg Zaki dan Kak Eja atas kelahiran anak sulung mereka pagi tadi, juga merupakan anak sulung warga Malaysia di tanah Bangalore ini. I was among the first people (from my batch) to see the baby, Aryan Shah. Nama memang ada gaya seperti orang sini(",)



Apa pun buat Aryan Shah(wajahnya seiras ibunya), rasanya boleh dikategorikan sebagai peringkat anak untuk saya; di sini 'uncle' mahu berkongsi secebis peringatan - kehidupan yang bakal dirimu tempuhi adalah satu kehidupan yang sangat mencabar, penuh dengan tipu daya dan pancaroba. Oleh itu, Aryan Shah perlu membesar dan menjadi seorang insan yang berjiwa kental, yang sentiasa patuh dengan perintah dan suruhan Allah swt. Dengan itu, kehidupanmu bakal dipayungi perlindungan serta redhaNya.



Buat Abg Zaki dan Kak Eja, selamat membina kehidupan baru dengan kehadiran si kecil itu.


Farid Nazmi
Bangalore
Jan 8, 2010

Thursday, January 7, 2010

Kenyataan rasmi ISMA mengenai isu penggunaan kalimah Allah



Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merasa kesal dan memandang berat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald - The Catholic Weekly menggunakan kalimah “ALLAH” di dalam terbitan mereka. Keputusan ini dilihat akan memberikan implikasi yang besar kepada perkembangan pengaruh agama Kristian di kalangan umat Islam terutama generasi muda negara ini.

Keputusan mahkamah itu juga bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menghalang penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam. ISMA melihat keputusan mahkamah ini akan memberi laluan yang lebih luas ke arah kedudukan samarata agama, sedangkan perlembagaan telah menetapkan Islam adalah agama rasmi negara (agama persekutuan).

Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang ke-82 pada bulan Mei 2008 yang lepas telah membuat keputusan bahawa kalimah “ALLAH” ini khusus bagi agama dan umat Islam. Allah pada sisi agama Islam adalah tunggal dan esa sifat-Nya. Keputusan majlis muzakarah tersebut membayangkan kepada seluruh masyarakat Malaysia bahawa isu ini sangat sensitif kepada rakyat yang beragama Islam. Namun ada pihak yang memandang ringan dan mahu mencabar keputusan majlis tersebut dengan bertindak membawanya ke mahkamah.

ISMA menyokong pihak JAKIM dan KDN yang akan membuat rayuan dan berpendapat bahawa langkah itu menepati kehendak “Siasah Syariyyah”. Walaupun larangan menggunakan nama Allah itu tidak terdapat dalam kitab fikah terdahulu, pihak berwajib boleh berijtihad atas dasar “Masolih Mursalah” dan menepati tuntutan tujuan syarak (Maqasid Syarak) iaitu menjaga agama (Hifzu ad-Din).

Sehubungan dengan itu, ISMA menyeru agar:

1) Parti-parti politik yang mewakili suara umat Islam supaya mengetepikan kepentingan politik masing-masing dengan memberikan sokongan padu di belakang Jabatan Perdana Menteri yang akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut. Sesungguhnya perbezaan fahaman politik di kalangan umat Islam di negara ini seharusnya ada batas sempadan, dan isu ini menuntut bukti kesetiaan pada agama dan bangsa daripada semua pihak tanpa terkecuali. Masa depan agama Islam tidak seharusnya dikompromikan demi menjaga hati dan sokongan pihak-pihak tertentu.

2) Para ulamak dan agamawan agar dapat menghentikan perbalahan pendapat dalam soal cabang dan seterusnya tampil memperhebatkan kempen penerangan kepada masyarakat akan hakikat perbezaan antara Allah yang Maha Esa dan konsep “Trinity” di sisi agama Kristian. Penggunaan kalimah Allah dalam media agama Kristian sudah tentu akan melahirkan ancaman kekeliruan di kalangan umat Islam yang cetek ilmu agamanya.

3) Seluruh anak watan Melayu agar bangkit segera dari lena yang panjang dan menyedari betapa status quo dan keistimewaan agama Islam di negara ini sudah mula dicabar sedikit demi sedikit. Fenomena ini hanya dapat disekat jika mereka membuang sifat toleransi melampau dan terlalu berlembut dalam hal-hal yang mengancam identiti mereka sendiri, serta membina kembali jati diri selaku umat yang pernah menerajui tamadun Islam serantau.

IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA
Bandar Baru Bangi
3 Januari 2010

Saturday, January 2, 2010

Sendiri, Bersendirian

Di sela kesendirian
Ku tersadar diri akan segala dosa
Semua yang telah kulakukan
Membuat diriku jauh dariMu

Namun kini kuyakini
Cinta dah kasihMu tiada terganti
Apa mungkin kudapati
Hidayah daripadaMu kuatkan imanku

Tuhan ampunilah daku
Kuharapkan hidayah daripadaMu
Saat ini hingga nanti
Aku kembali kepadaMu


Alhamdulillah, kini saya tidak bersendirian.


Farid Nazmi
Bangalore
Jan 3, 2010

Tuesday, December 29, 2009

Takut

Orang yang takutkan keadaan semasa berdiri di makhamah Tuhannya, tidak akan melakukan maksiat. Jika dia melakukannya kerana didorong aspek kelemahan yang ada pada diri manusia, perasaan takut pada situasi hari kiamat ini akan memandunya ke arah penyesalan, istighfar dan taubat. Maka dia kekal dalam lingkungan ketaatan.

Menegah diri daripada mengikuti hawa nafsu adalah paksi untuk kekal dalam lingkungan ketaatan. Hawa nafsu adalah pendorong yang kuat bagi setiap perbuatan melampaui batas dan maksiat. Manusia kurang diperdaya kecuali melalui hawa nafsunya. Kejahilan amat mudah dirawati - rawat dengan ilmu. Tetapi mengikut hawa nafsu selepas berilmu adalah bencana jiwa yang rawatannya perlu kepada jihad yang payah dan lama. Sentiasalah beristighfar, menanamkan azam yang tinggi dan laksanakannya dalam bentuk usaha. Sesungguhnya Allah swt tidak akan menzalimi hamba-hambaNya.

Ketakutan kepada Allah adalah dinding utuh di depan tolakan keras hawa nafsu. Pencipta jiwa kita, amat mengetahui penyakitnya, dan amat pakar tentang ubatnya.

Allah Taala tidak mengarahkan manusia agar tidak membiarkan hawa nafsu tumbuh langsung di dalam jiwa. Sebaliknya Allah Taala mengarahkan manusia mencegah, menahan dan mengawalnya. Perasaan takut dapat membantu usaha ini. Perasaan takutkan keadaan semasa dia berdiri di makhamah Tuhan yang Maha Mulia, Agung dan Hebat. Allah Taala memutuskan syurga sebagai ganjaran dan tempat tinggal bagi jihad melawan nafsu yang amat payah ini.

Kesan realiti kiamat amat besar jika kita yakin dan beriman dengannya, menyebabkan seseorang akan memandang kecil kehidupan dunia, usia, peristiwa, keseronokan dan segala sesuatu. Sehingga ia kelihatan pada jiwa ahli-ahli dunia seolah-olah setengah hari... sekadar sepetang atau sepagi sahaja.


Farid Nazmi
Bangalore
Dec 29, 2009

Ulang Tahun Ke-18

Alhamdulillah, hari ini merupakan ulang tahun ke-18 buat adik bongsu saya. Sudah besar rupanya anak mama yang seorang itu. Along doakan agar Allah swt memimpin serta meredhai setiap langkahan hidupmu yang mendatang. Ingatlah, kehidupan kita di dunia bukan hanya satu perkara yang sia-sia.

Along
Bangalore
Dec 29, 2009

Tuesday, December 22, 2009

Kembali dan Pergi

Alhamdulillah, baru sahaja kembali daripada Winter Camp'09. Terlalu banyak mahu dikongsikan namun tidak tahu di mana mahu bermula ~ speechless.. Apa yang penting, moga segala kerja buat kami mendapat rahmat dan redhaNYA.


Malam ini saya bertolak pergi ke Kodaikanal, berjaulah menemani sahabat-sahabat yang lain. Sekali lagi, mohon mendapat rahmat dan redhaNYA.

Jazakallah.
Farid Nazmi
Dec 22, 2009

Tuesday, December 15, 2009

Rumah Tangga Islami - Baitul Muslim

Memperbaiki diri, meningkatkan maqam dan kedudukan di sisi Allah serta mengajak manusia lain kepada Allah adalah antara kewajipan asasi pabila berada di atas jalan ini iaitu jalan dakwah.

Di samping kewajipan itu, terdapat satu lagi kewajipan yang tidak kurang peri pentingnya, iaitu mendirikan rumah tangga Islami. Sebelum itu, individu Muslim haruslah dibentuk terlebih dahulu, dipersiapkan untuk menjadi Muslim yang sejati yang menjadi contoh Islam yang sahih dan teladan yang patut dicontohi.


Kita sangat-sangat memerlukan rumah tangga Muslim yang boleh diteladani untuk menjadi tiang yang kuat di dalam pembangunan masyarakat Islam. Setiap keluarga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat. Kuatnya masyarakat itu hanya lahir daripada keluarga Muslim. Lemahnya masyarakat itu pula adalah kesan daripada keluarga hancur.

Rumah tangga itu merupakan tempat semaian bagi tunas-tunas baru yang dididik dan dibentuk dengan keteguhan peribadi yang akan mencorakkan hidup mereka, menjadi generasi mapan yang akan menjadi pewaris tugas besar Rasulullah saw. Sangat benarlah sabda Rasulullah saw: "Tiap-tiap anak itu dilahirkan di atas fitrahnya-kejadian yang suci dan ibu bapalah yang menjadikan mereka Yahudi, Kristian atau Majusi."

Kita mahukan keteguhan pembinaan baitul muslim kerana kita mahukan kesinambungan generasi berlaku secara terancang untuk melahirkan generasi pelapis yang terbaik. Dan kita juga percaya jika masalah keluarga selesai, banyak masalah dakwah lain juga turut selesai.


Oleh itu, 2 perkara yang mesti kita pastikan berlaku dalam rumahtangga kita adalah; yang pertama perlu wujud kesejahteraan sistem di mana suami isteri perlu memahami fungsi masing-masing, ada komunikasi yang jelas serta perancangan yang tersusun sama ada dari segi kewangan, makanan dan sebagainya. Yang kedua pula adalah perlunya wujud biah tarbawiyyah di mana keluarga adalah madrasah pertama anak-anak mempelajari kehidupan. Insya Allah, rumah tangga yang dibina itu akan berkekalan dan mencapai objektif pendiriannya yang sebenar.

Untuk itu, sahabat-sahabat Muslim sekalian haruslah bersungguh-sungguh dan bersegera untuk mendirikan rumah tangga Muslim yang mithali dan menjadi contoh teladan kepada generasi kini. Ini adalah satu langkah yang penting dan asasi di jalan dakwah Islam. Moga Allah swt mempermudahkan urusan tersebut insya Allah.


Farid Nazmi
Bangalore
Dec 15, 2009