Thursday, January 7, 2010

Kenyataan rasmi ISMA mengenai isu penggunaan kalimah Allah



Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merasa kesal dan memandang berat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald - The Catholic Weekly menggunakan kalimah “ALLAH” di dalam terbitan mereka. Keputusan ini dilihat akan memberikan implikasi yang besar kepada perkembangan pengaruh agama Kristian di kalangan umat Islam terutama generasi muda negara ini.

Keputusan mahkamah itu juga bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menghalang penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam. ISMA melihat keputusan mahkamah ini akan memberi laluan yang lebih luas ke arah kedudukan samarata agama, sedangkan perlembagaan telah menetapkan Islam adalah agama rasmi negara (agama persekutuan).

Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang ke-82 pada bulan Mei 2008 yang lepas telah membuat keputusan bahawa kalimah “ALLAH” ini khusus bagi agama dan umat Islam. Allah pada sisi agama Islam adalah tunggal dan esa sifat-Nya. Keputusan majlis muzakarah tersebut membayangkan kepada seluruh masyarakat Malaysia bahawa isu ini sangat sensitif kepada rakyat yang beragama Islam. Namun ada pihak yang memandang ringan dan mahu mencabar keputusan majlis tersebut dengan bertindak membawanya ke mahkamah.

ISMA menyokong pihak JAKIM dan KDN yang akan membuat rayuan dan berpendapat bahawa langkah itu menepati kehendak “Siasah Syariyyah”. Walaupun larangan menggunakan nama Allah itu tidak terdapat dalam kitab fikah terdahulu, pihak berwajib boleh berijtihad atas dasar “Masolih Mursalah” dan menepati tuntutan tujuan syarak (Maqasid Syarak) iaitu menjaga agama (Hifzu ad-Din).

Sehubungan dengan itu, ISMA menyeru agar:

1) Parti-parti politik yang mewakili suara umat Islam supaya mengetepikan kepentingan politik masing-masing dengan memberikan sokongan padu di belakang Jabatan Perdana Menteri yang akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut. Sesungguhnya perbezaan fahaman politik di kalangan umat Islam di negara ini seharusnya ada batas sempadan, dan isu ini menuntut bukti kesetiaan pada agama dan bangsa daripada semua pihak tanpa terkecuali. Masa depan agama Islam tidak seharusnya dikompromikan demi menjaga hati dan sokongan pihak-pihak tertentu.

2) Para ulamak dan agamawan agar dapat menghentikan perbalahan pendapat dalam soal cabang dan seterusnya tampil memperhebatkan kempen penerangan kepada masyarakat akan hakikat perbezaan antara Allah yang Maha Esa dan konsep “Trinity” di sisi agama Kristian. Penggunaan kalimah Allah dalam media agama Kristian sudah tentu akan melahirkan ancaman kekeliruan di kalangan umat Islam yang cetek ilmu agamanya.

3) Seluruh anak watan Melayu agar bangkit segera dari lena yang panjang dan menyedari betapa status quo dan keistimewaan agama Islam di negara ini sudah mula dicabar sedikit demi sedikit. Fenomena ini hanya dapat disekat jika mereka membuang sifat toleransi melampau dan terlalu berlembut dalam hal-hal yang mengancam identiti mereka sendiri, serta membina kembali jati diri selaku umat yang pernah menerajui tamadun Islam serantau.

IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA
Bandar Baru Bangi
3 Januari 2010

No comments:

Post a Comment