Monday, January 11, 2010

Perancangan dan Matlamat

Alhamdulillah, lembaran baru terbuka sudah. Kini kita berada pada tahun 2010. Tirai 2009 telah tertutup 11 hari yang lepas. Semoga segala pengalaman pada tahun lepas dapat dijadikan sebagai pedoman kita untuk terus mara pada tahun ini.

Banyak perancangan dan matlamat yang telah digariskan untuk tahun ini. Segala puji bagi Allah swt, Tuhan Semesta Alam, Dialah sebaik-baik perancang. Kita hanya mampu merancang, tapi akhirnya natijah itu Dia yang tentukan. Dan sesungguhnya Allah swt Maha Mengetahui, insya Allah segala apa yang terjadi dan ditetapkan itu pasti yang terbaik untuk kita semua, walau pun mungkin pada pandangan kita ia adalah suatu kesusahan atau pun bencana. Apa pun, segala perancangan dan matlamat kita itu, perlulah Islam menjadi keutamaannya. Dan meraih redha Ilahi adalah tunjangnya. Kejarlah kedua-duanya sekali, iaitu dunia dan akhirat.

Untuk para du'at yang dirahmati Allah swt sekalian, sukanya untuk saya ingatkan di sini, satu peringatan yang ditujukan khas untuk diri sendiri terutamanya, sesungguhnya kerja-kerja di jalan Allah ini menuntut keimanan dan ketaqwaan yang tinggi kepada Allah swt. Maka daripada keimanan dan ketaqwaan itu akan lahirlah sejuta pengorbanan dan keikhlasan, dari segi jiwa, masa, harta dan tenaga. Dan elemen terpenting seterusnya yang diperlukan untuk menegakkan kembali syiar Islam adalah ukhuwwah Islamiyyah dengan semangat cintakan Allah swt.

Metodologi bagaimana untuk mengibarkan kembali panji Islam sudah ada, dan ini berdasarkan seerah nabi, namun kekurangan besar yang kita alami sekarang adalah tenaga pemuda untuk menggerakkan metodologi tersebut. Seperti mana yang telah saya utarakan dalam post sebelum ini, pemuda merupakan golongan harapan bangsa, negara dan agama. Oleh itu, perancangan dan matlamat utama kita sekarang adalah untuk membina pemuda generasi harapan Islam yang kukuh asas agamanya dan tahu matlamat hidupnya. As-Syahid Hassan Al-Banna ada berkata, "Andai diumpama Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka aku akan berjalan ke seluruh dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramainya bilangan mereka. Tetapi aku ingin hati-hati yang ikhlas untuk membantu dan bersamaku membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah."

Semoga Allah swt memimpin serta meredhai segala usaha kita.


Farid Nazmi
Bangalore
Jan 11, 2010

No comments:

Post a Comment