Saturday, January 30, 2010

Syurga, motivasi terbaik!

"Mereka berada di atas sofa yang bertakhtakan emas dan permata… Seraya berbaring di atasnya berhadap-hadapan… Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang tetap muda… Dengan membawa gelas, cerek dan cawan berisi minuman yang diambil dari air yang mengalir.. Mereka tidak pening kerananya dan tidak pula mabuk… Dan buah-buahan dari apa yang mereka pilih.. Dan daging burung dari apa yang mereka inginkan… Dan ada bidadari-bidadari yang bermata jeli… Laksana mutiara yang tersimpan baik…" (Al-Waqi’ah: 15-23).

Sahabat yang dirahmati Allah,

Di saat kesibukan membaca dan menghafaz, kadang-kadang terfikir takut-takut kesibukan ini menjadikan kita hamba yang semakin jauh dari Allah. Kalau nak diharapkan amalan sebelum-sebelum ini betapa kerdilnya diri ini andai dibandingkan dengan amalan para sahabat, para syuhada’, para solihin. Bahkan teringat kata-kata, “Andai ditimbanglah iman kita dan seluruh iman para muslimin di waktu ini, maka lebih berat timbangan iman Abu Bakr As-Siddiq Radhiyallahu ‘anhu”. Lalu adakah tempat lagi buat diri ini untuk syurga Allah yang mahal itu?

Tersentak seketika, ambil sedikit masa bermuhasabah. Rupanya ada janji Allah terselit di situ. Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

‘Dan barangsiapa yang menjalani satu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah mudahkan baginya satu jalan kepada syurga’ (Hadith Riwayat Muslim).

Bukankah peperiksaan salah satu proses dalam menuntut ilmu? Bukankah dengan menuntut ilmu itu Allah mudahkan jalan untuk kita ke syurga? Bersungguh kembali, biarlah kesibukan ini terus menghimpit, tapi dengan niat yang ikhlas, tetap redha Ilahi yang dikejar. Kerana tiada siapa tahu amalan mana yang diterima, mungkin kerana kita bersungguh-sungguh dalam peperiksaan ini, kerana ilmu ini menambah keimanan kita pada yang Maha Esa, mungkin kerana inilah kita dikurniakan nikmat syurga… siapa tahu?

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,

Oleh itu, kesungguhan harus ditingkatkan lantaran kita khalifah di muka bumi Allah punya tugas yang berat, meletakkan kalimah 'Lailaha illallah' di tempat tertinggi di bumi ini. Tugas itu berat. Syurga Allah juga mahal. Maka tiada apa yang setara dengannya melainkan kesungguhan yang sebenar-benarnya untuk mencapai matlamat. Kerana itulah Rasulullah juga pernah bersabda:

‘Sesungguhnya Allah suka pada seseorang apabila membuat sesuatu pekerjaan, dia bersungguh-sungguh padanya’.

Bukankah cintaNya yang dicari? Bukankah itu juga satu jalan untuk mendapat syurgaNya? Boleh jadi kesungguhan kita dalam peperiksaan ini, dengan keikhlasan niat, Allah sebagai matlamat, menjadikan kita dicintaiNya, lalu dimasukkan kita ke dalam syurgaNya, siapa tahu?

Sahabat yang disayangi Allah,

Buat akhirnya, saya mengajak untuk berfikir. Beradanya kita di saat ini, di ketika ini, di posisi ini, di bumi anbiya’ ini, di universiti ternama ini, di tahun-tahun akhir ini, tanpa kita pernah terfikir, sampainya kita pada tahap ini adalah dengan iringan doa insan-insan yang kita tak pernah tahu siapa. Mungkin doa ibu-bapa kita, mungkin para pendidik, mungkin sahabat handai, mungkin sanak saudara, mungkin dari insan yang kita tak pernah kenali pun.

Kerana apa? Kerana ada hadith yang menyebutkan:

Doa seorang saudara terhadap saudaranya di luar pengetahuan (saudara tersebut) adalah doa yang diperkenankan, di sisinya seorang malaikat yang diwakilkan. Setiap kali beliau mendoakan kebaikan untuk saudaranya malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: “Amin dan bagimu juga seperti itu”. (Hadith riwayat muslim daripada Abu Darda’)

Tak salah rasanya di saat kita bersungguh berdoa dikuatkan hafazan, dimudahkan kefahaman, dimudahkan menjawab soalan, dikurniakan imtiyaz, diampunkan dosa, dikurniakan redha dan syurgaNYA, kita bersungguh juga berdoa buat sahabat-sahabat yang kita sayangi, mudah-mudahan malaikat meng’amin’kan dan Allah memakbulkan. Andai satu nama yang disebut, malaikat sekali meng’amin’kan, dapatkah kita bayangkan andai lebih ramai nama yang kita sebut?

Kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan. Mudah-mudahan kita sama-sama menjadi orang yang bersungguh, mudah-mudahan doa kita dimakbulkan, mudah-mudahan kita dikurniakan syurga yang diimpikan, mudah-mudahan RedhaNya kita peroleh. Allahumma Amiin!

2 comments:

  1. salam imtihan bt senior2 IMS... smga kt sm2 diberkati olehNya. diberi petunjuk~ amin.

    ReplyDelete
  2. To Nur Akmal:

    Jazakillah ya ukhti. Moga dipermudahkan segala urusan insya Allah.

    ReplyDelete