Sunday, November 29, 2009

Perutusan Sempena Eidul Adha 1430H

Assalamu'alaikum wbt.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Tidak lupa juga selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad saw, kepada keluarga baginda, para sahabat baginda serta para mujahidin yang telah mengikut jejak langkah mereka.

Sahabat yang dikasihi sekalian,

Alhamdulillah kita sekali lagi diberikan peluang dan ruang untuk menyambut hari kebesaran dan hari perayaan dalam agama kita iaitu Eidul Adha. IYA mengambil kesempatan di sini ingin mengucapkan tahniah kepada semua dengan kehadiran hari yang mulia ini. Moga-moga Allah swt menerima amalan kita serta yang lainnya yang merayakan hari ini dengan penuh kesyukuran dan dibatasi dengan syariat Ilahi.

Allah swt menukilkan peristiwa besar 10 Zulhijjah ini di dalam Al-Quran. FirmanNya: "Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Alah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar." (Surah Ash-Shaffat: 102)

Begitu besar pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim as serta isteri tercinta Hajar dan anak tersayang Nabi Ismail as. Pengorbanan sebeginilah yang mahu kita aplikasikan dalam kehidupan seharian kita sebagai seorang Muslim. Tunduk dan patuh secara total kepada perintahNya tanpa merasa keberatan, banyak soal dan tidak bertangguh, walau pun rahsia dan hikmah di sebalik perintah itu tidak diketahui. Inilah erti pengorbanan yang sebenar.

Kita sebagai manusia tidak mempunyai pilihan, kecuali menjadikan hidup di bawah naungan syariat Allah swt yang sempurna. Sedarlah, sesungguhnya hidup beragama itu bukan suatu perkara yang membebankan. Segalanya terserah kepada kita, mahu atau tidak sama sekali tidak menjejaskan kedudukan Allah swt sebagai Tuhan Yang Satu.

Sahabat yang dikasihi sekalian,

Hari ini adalah hadiah daripada Allah, sambutlah ia dengan amalan yang taat. Lakukanlah ziarah, rapatkanlah hubungan sesama muslim, gembirakanlah golongan miskin dengan bersedekah kepada mereka dan lakukanlah ibadah dengan sebaiknya.

Moga segala amalan kita mendapat redhaNya.


Ahmad Farid Nazmi bin Abdul Halim

Pengerusi IYA Bangalore.

No comments:

Post a Comment