Sunday, November 29, 2009

Erti Sebuah Pengorbanan



Di bumi Palestin, Nabi Ibrahim as dikurniakan cahaya mata pertama yang dinamakan Ismail as setelah usia baginda menjangkau 86 tahun. Belum pun puas bermanja dengan anaknya, Allah swt memerintahkan baginda meninggalkan keluarga iaitu isteri yang dicintai Hajar dan anak yang disayangi Ismail as ke sebuah kawasan yang sangat jauh dari Palestin iaitu Mekah al-Mukarramah. Sebagai seoarng hamba yang taat kepada perintah Tuhannya, naginda dengan sepenuh pengorbanan terus melaksanakaannya tanpa lengah.

Dapatkah kita bayangkan bagaimana perasaan seorang isteri yang ditinggalkan bersama anak yang baru lahir oleh suami yang dicintainya? Setelah beberapa tahun, apabila Nabi Ismail a.s. sudah agak besar dan mampu bekerja bersama-sama ayahnya, dating pula perintah Allah supaya Nabi Ibrahim a.s. menyembelih anak kesayangannya itu.

Dapatkah kita gambarkan hati seorang ayah yang diperintah untuk ‘mengorbankan’ anak kesayangannya setelah berpisah sekian lama?

Dapatkah pula kita selami sanubari seorang anak yang telah lama ditinggalkan bersama ibu, tiba-tiba ayahnya muncul untuk menyembelihnya?

Sahabat yang dikasihi sekalian,

Allah swt menukilkan peristiwa besar ini dalam Al-Quran, Surah Ash-Shaffat, ayat 102:

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar"

Sesungguhnya peristiwa tersebut merupakan satu peristiwa yang besar, manifestasi sebuah pengorbanan agung dalam mentaati perintah Allah. Peristiwa yang berlaku pada tanggal 10 Zulhijjah ini jugalah yang 'dirayakan' oleh umat Islam seluruh dunia pada setiap tahun. Benar, kita merayakan 'yaum an-Nahar' setiap tahun. Tetapi, berapa kerapkah kita menghayati peristiwa agung ini?



Kita manusia adalah hamba Allah. Hakikat seorang hamba adalah kepatuhan secara total terhadap perintah tuannya tanpa merasa keberatan, walaupun rahsia atau hikmah di sebalik perintah tersebut tidak difahami. Seorang hamba tidak berhak untuk mempersoalkan aptah lagi untuk engkar akan perintah tersebut. Firman Allah swt: "Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata" (Al-Ahzab: 36)

Seperti mana yang telah saya timbulkan pada post yang lepas, Islam bukan sekadar beberapa perlakuan ritual atau 'aktiviti keagamaan' yang wajib dilaksanakan secara membuta-tuli. Sebaliknya, Islam adalah agama praktikal yang berpengaruh di dalam kehidupan manusia. Islam bermaksud ketundukan yang sepenuhnya kepada syariat Allah.

Seorang muslim tidak mempunyai pilihan, kecuali menjadikan keseluruhan hidupnya di bawah naungan syariat Allah yang sempurna. Sekiranya seorang muslim itu memilih untuk hidup di luar syariat, maka pada hakikatnya dia bukanlah seoarang Muslim, walaupun dia mengaku beriman. Firman Allah swt: 'Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang kafir." (Ali-Imran: 32)

Konsep ketundukan total kepada peritnah Allah ini tergambar jelas daripada peristiwa Nabi Ibrahim as seperti mana yang telah diceritak di atas.

Ketundukan inilah yang menyebabkan Hajar bersabar dengan ujian ditinggal oleh suami tercinta di lembah yang tandus bersama anaknya yang masih kecil.

Ketundukan inilah yang menyebabkan Nabi Ibrahim as sanggup menyembelih anak yang amat disayangi.

Penyerahan inilah juga yang mengakibatkan Nabi Ismail as bersedia dikorbankan demi memenuhi perintah Allah swt.

Ini semua mereka lakukan dengan penuh patuh walaupun mereka tidak mengetahui hikmah di sebalik perintah tersebut. Adakah kita menghayati hakikat ketundukan total ini dalam kehidupan kita?

Kebanyakan umat Islam hari ini amat jauh dari hakikat ketundukan ini. Mereka tenggelam dengan gaya hidup barat yang berkiblatkan nafsu. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan menjadi syi'ar mereka. Gejala perzinaan, perlakuan sumbang dan kelucahan berleluasa dalam masyarakat sehingga kanak-kanak sekolah pun tidak 'kebal' daripada kerosakkan ini. Golongan muda lebih mengutamakan hiburan daripada menimba ilmu. Mereka lebih gemar membuang masa dengan melepak di gedung-gedung membeli-belah mahu pun bersiar-siar di taman-taman, atau menjadi mat rempit di jalan raya.

Kehidupan 'glamour' artis-artis menjadi idaman pemuda-pemudi Islam. Pada masa yang sama, masyarakat secara keseluruhannya seolah-olaj menerima semua gejala ini sebagai sesuatu yang normal. Ditambah pula dengan keghairahan syarikat-syarikat penyiaran dalam mempromosikan budaya hidup yang asing ini melalui program-program bercorak hiburan yang melampau.

Semua ini menggambarkan suasana masyarakat yang jauh daripada hidayah yang tiada bezanya dengan masyarakat kafir di negara-negara barat. Masyarakat Islam lupa akan 'risalah' yang diamanahkan oleh Allah swt ke atas bahu mereka. Tidakkah mereka membaca Al-Quran ? Firman Allah swt: 'Kamu (wahai Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik' (Ali-Imran: 110)

Ya... kita adalah umat yang terbaik! Kita adalah umat yang memimpin, bukannya dipimpin. Kita adalah umat yang sepatutnya mencorakkan perjalanan dunia! Malangnya, umat Islam hari ini lupa akan hakikat ini, lalu mereka redha hidup dalam kehinaan.

Islam adalah manifestasi ketundukan total kepada Allah swt sebagaimana yang digemburkan melalui kisah keluarga Nabi Ibrahim as. Ketundukan yang didasari aqidah dan keimanan bulat yang mantap. Hakikat ini patut kita hayati setiap kali kita menyambut tanggal 10 Zulhijjah!

Sesungguhnya, pengorbanan Nabi Ibrahim as dan keluarganya dalam menurut perintah Allah swt adalah contoh terbaik untuk kita jadikan suri tauladan. Umat ini hanya akan bangkit melalui jalan yang ditunjukkan oleh generasi terdahulu yang telah berjaya di kalangan para anbuya', para syuhada' dan para solehin, Sesungguhnya adalah kehendak Allah swt bahawa agama ini akan kembali mentadbir dunia sebagaimana yang telah berlaku dahulu. Walau bagaimanapun, telah menjadi sunnatullah, bahawa setiap kemenangan memerlukan pengorbanan. Pertolongan dan ganjaran Allah swt pasti akan datang, asal sahaja kita melaksanakan segala perintah Allah swt dengan penuh kepatuhan dan ketundukan.

Firman Allah swt: 'Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.'

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Hari ini adalah hari kedua masyarakat Islam Bangalore menyambut Hari Raya Aidil Adha. Suasana raya masih tetap terasa walaupun tidak semeriah sambutan di tanah air. Betul, kitalah yang mewujud dan mengawal suasana. Kita berupaya untuk mengubah persekitaran jikalau kita mahu, dengan izinNya.



Seperti tahun-tahun yang sudah, masyarakat melayu kita di Bangalore menunaikan ibadah qurban. Alhamdulillah tahun ini juga kita mendapat sambutan yang hangat. Saya sendiri turut menunaikan ibadah qurban. Tahun ini bertekad tidak mahu mengambil bahagian qurban sepenuhnya kerana tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama, pembaziran berlaku di mana daging menjadi busuk dan akhirnya terpaksa dibuang. Kali ini, kuantiti daging yang saya peroleh tetap banyak hasil daripada pemberian masjid berdekatan dengan rumah saya. Banyak sehingga tiada tempat untuk menyimpannya. Untuk menolak sama sekali tidak berdaya. Jadi nampaknya saya serta teman serumah perlu 'menghabiskannya' secepat mungkin. Insya Allah.



Farid Nazmi

Bangalore

Nov 29, 2009

Perutusan Sempena Eidul Adha 1430H

Assalamu'alaikum wbt.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Tidak lupa juga selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad saw, kepada keluarga baginda, para sahabat baginda serta para mujahidin yang telah mengikut jejak langkah mereka.

Sahabat yang dikasihi sekalian,

Alhamdulillah kita sekali lagi diberikan peluang dan ruang untuk menyambut hari kebesaran dan hari perayaan dalam agama kita iaitu Eidul Adha. IYA mengambil kesempatan di sini ingin mengucapkan tahniah kepada semua dengan kehadiran hari yang mulia ini. Moga-moga Allah swt menerima amalan kita serta yang lainnya yang merayakan hari ini dengan penuh kesyukuran dan dibatasi dengan syariat Ilahi.

Allah swt menukilkan peristiwa besar 10 Zulhijjah ini di dalam Al-Quran. FirmanNya: "Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Alah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar." (Surah Ash-Shaffat: 102)

Begitu besar pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim as serta isteri tercinta Hajar dan anak tersayang Nabi Ismail as. Pengorbanan sebeginilah yang mahu kita aplikasikan dalam kehidupan seharian kita sebagai seorang Muslim. Tunduk dan patuh secara total kepada perintahNya tanpa merasa keberatan, banyak soal dan tidak bertangguh, walau pun rahsia dan hikmah di sebalik perintah itu tidak diketahui. Inilah erti pengorbanan yang sebenar.

Kita sebagai manusia tidak mempunyai pilihan, kecuali menjadikan hidup di bawah naungan syariat Allah swt yang sempurna. Sedarlah, sesungguhnya hidup beragama itu bukan suatu perkara yang membebankan. Segalanya terserah kepada kita, mahu atau tidak sama sekali tidak menjejaskan kedudukan Allah swt sebagai Tuhan Yang Satu.

Sahabat yang dikasihi sekalian,

Hari ini adalah hadiah daripada Allah, sambutlah ia dengan amalan yang taat. Lakukanlah ziarah, rapatkanlah hubungan sesama muslim, gembirakanlah golongan miskin dengan bersedekah kepada mereka dan lakukanlah ibadah dengan sebaiknya.

Moga segala amalan kita mendapat redhaNya.


Ahmad Farid Nazmi bin Abdul Halim

Pengerusi IYA Bangalore.

Wednesday, November 25, 2009

Perkemaskan Ukhuwwah Yang Telah Terbina Melalui Tarbiyyah


Yang aku mahukan dengan kamu semua berukhuwwah ialah hati-hati dan ruh-ruh diikat dengan ikatan Aqidah. Aqidah adalah ikatan yang paling kuat dan mahal. Tidak ada kekuatan dalam dakwah ini tanpa kesatuan dan tidak ada yang dinamakan kesatuan tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling minima ialah berlapang dada (sesama kamu). Kasih sayang yang paling tinggi ialah Al-Ithar (mengutamakan orang melebihi diri sendiri. Firman Allah swt bermaksud,"Sesiapa yang terselamat dari bersifat bakhil pada dirinya (hanya mengutamakan dirinya sendiri), maka mereka adalah orang-orang yang berjaya." [Hasan Al-Banna]

Kita percaya, untuk memperjuangkan Islam yang tercinta memerlukan kepada saff atau organisasi atau pun jemaah. Dan ukhuwwah Islamiyyah serta kesatupaduan dan kasih sayang adalah antara elemen terpenting yang perlu dipraktikkan oleh organisasi tersebut. Kerana tanpanya, jemaah atau organisasi tersebut hanya tinggal sebagai sebuah persatuan atau badan yang biasa sahaja dan tidak ke mana. Ukhuwwah dan kasih sayang dikalangan anggota dalam saff mampu menjaga jemaah dari berlakunya sebarang keretakan dan kehancuran. Kita tidak mahu masyarakat hilang tseqah atau kepercayaan terhadap organisasi tersebut, yang akhirnya lari meninggalkannya dan mencari pihak yang lain.



Ukhuwwah dan kasih sayang hanya akan terbina pabila wujudnya kesatuan kefahaman yang jitu terhadap Islam dan cara menegakkannya. Ianya sama sekali tidak akan lahir melainkan dengan tarbiyyah yang sahih, bersungguh dan bersistem. Jelas sekali, tidak lain dan tidak bukan tarbiyyah itu adalah asas kepada perubahan yang kita inginkan, suatu perubahan yang perlu berlaku dalam jiwa seseorang individu begitu juga dengan sesebuah masyarakat. Di mana daripada pentarbiyyahan itulah akan lahirnya ukhuwwah dan kasih sayang sesama ahli yang meletakkan semua itu dengan semangat cintakan Allah swt.

Perkemaskan ukhuwwah yang terbina melalui tarbiyyah.


Farid Nazmi

Bangalore

Nov 25, 2005

Saturday, November 21, 2009

Kita Mulakan Dengan Diri Kita


Pemuda adalah tonggak kepada sesuatu tamadun. Runtuhnya Empayar Rom, Parsi dan Greek adalah kerana pemuda mereka yang berada dalam arus kegelapan. Dan jika kita tinjau keadaan Amerika Syarikat(AS) sekarang, AS sesekali tidak akan bertahan lama sebagai pemegang kuasa dunia jika pemuda mereka berterusan dalam keadaan sekarang.

Kekuatan orang muda adalah satu kekuatan yang extraordinary. Ini kerana semua ideologi yang dibentuk dibangunkan melalui tenaga pemuda. Oleh itu jika kita kembali melihat isu di Malaysia, sebarang aktiviti berasaskan politik sama sekali diharamkan di peringkat pengajian tinggi kerana 'kuasa' yang ada pada pemuda mampu melawan 'kuasa' yang ada pada pemerintah. Dan barat juga sangat mengetahui tentang peri pentingnya golongan pemuda ini. Sebagai contoh, pada zaman penjajahan barat di Tanah Melayu dahulu, ada pusat pengajian yang ditubuhkan untuk 'membasuh' remaja atau pemuda di mana kelak mereka akan menjadi pemimpin yang memenangkan sistem barat.

Sebelum pergi lebih jauh, di sini boleh rasanya untuk saya mengklasifikasikan pemuda kepada 2 kelompok:
1. Pemuda yang lahir di zaman kesenangan. Mereka adalah pemuda yang hidupnya senang dan kebanyakannya pentingkan diri sendiri.
2. Pemuda yang lahir di zaman penjajahan. Mereka adalah pemuda yang hidupnya adalah untuk berjuang dan pentingkan bangsa.
Kita pula berada di kelompok mana?

Sahabat yang dihormati sekalian,

Dunia pada hari ini kebingungan kerana tiada satu sistem yang boleh menyelesaikan masalah dunia. Hanya satu gagasan yang boleh menyelamatkan dunia dan seisinya iaitu gagasan Islam. Kerana itu, musuh Islam cuba sedaya-upaya untuk menjatuhkan Islam secara fizikal serta pemikiran terutamanya golongan pemuda sehingga berjaya dan kegiatan ini bertambah mudah dengan ketiadaan kuasa Islam. Dan kerana itulah kita sebagai pemuda perlu exploit diri kita sepenuh dan sebaiknya untuk membangunkan gagasan Islam kerana kita pemuda mempunyai kekuatan yg extraordinary.




Ciri-ciri utama pemuda yang menjadi asas kebangkitan umat:
1. Iman yang teguh
2. Kehendak yang kuat
3. Semangat yang utuh
4. Ikhlas bekerja
5. Kesetiaan yang jitu
6. Pengorbanan yang tinggi
Kekuatan pertama yang diperlukan sebagai titik kekuatan untuk laksanakan tugas-tugas sebagai pemuda Muslim adalah kekuatan iman kerana daripada keimanan akan lahirnya perpaduan dan seterusnya kejayaan.


Tugas kita:
1. Fikirkan tentang umat lebih banyak daripada fikirkan diri-sendiri.
2. Menceritakan hakikat Islam yang sebenar.
3. Faham dakwah & tarbiyyah serta cara kerja yang betul.
4. Mengajak manusia beramal dengan Islam secara praktikal.
5. Menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah itu sahih dan generasi silam sebagai pegangan hidup.

Segala usaha yang kita lakukan hanya untuk mendapatkan keredhaan Ilahi. Teruskanlah berjuang dan berkorban menyebarkan Islam sehingga hidup dan mati itu adalah hidup dan mati yang mulia. Yakinlah dengan tugas kita dan kemenangan itu berada di tangan orang bertaqwa. Jika masih lagi sangsi dan tidak sanggup dengan tugas tersebut, ketahuilah tentera Allah swt akan terus mara meninggalkan anda tanpa mengira sedikit atau ramai pun mereka kerana yakin dengan janji Allah swt. Salafussoleh memahami Islam dalam hakikat yang sebenarnya dan yakin akan kesempurnaanya. Dengan keyakinan inilah mereka maju dalam semua perkara duniawai dan ukhrawi.

Para pemuda Muslim sekalian, ayuh marilah kita wakafkan diri kita kepada Islam dan sama-sama bekerja untuknya. Kita mulakan dengan diri kita.


Farid Nazmi
Bangalore
Nov 21, 2009

Thursday, November 19, 2009

Seru Kebaikan, Tolak Kebatilan

Bila mana kita menyentuh tentang dakwah atau pun amar makruf nahi mungkar, kebanyakan kita akan merasakan ia adalah suatu isu yang berat, mungkin membosankan malah ada yang membencinya, "Sikit-sikit nak sentuh pasal agama. Cakap pasal agama. Buat program pun program agama." Sebagai seorang Muslim yang ingin menyebarkan agamanya, ternyata terlalu banyak yang kita perlu fikirkan apabila berhadapan dengan dakwah itu.

Namun, Islam tidak hanya berpada dengan kesolehan seseorang individu, sehinggalah dia melakukan pengislahan terhadap orang lain. Dakwah bukan hanya kefardhuan daripada Allah swt, bahkan ia adalah keperluan asasi hidup bermasyarakat. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan sehebat mana keilmuan, teknologi mahu pun ekonomi yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat, kelangsungan nilai-nilai kemanusiaan masyarakat itu bergantung kepada sejauh mana amar makruf nahi mungkar mampu dibudayakan secara akar umbi.

Firman Allah swt yang bermaksud:
"...Allah pasti akan menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sungguh Allah Mahakuat, Maha perkasa. (Yaitu) orang-orang jika Kami beri kedudukan di bumi, mereka melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; dan kepada Allah kembali segala urusan." [Surah Al-Hajj: 40-41]

Perbaikilah dirimu dan serulah kebaikan kepada orang lain.


Farid Nazmi
Bangalore
Nov 19, 2009

Tuesday, November 17, 2009

Pendidikan

Kita meyakini bahawa diri, keluarga dan masyarakat mestilah menerima pendidikan atau pentarbiyyahan dalam bahasa arabnya, dalam usaha menghayati Islam syumul, dan seterusnya menjadi batu asas kepada politik dan pembentukan negara Islam. Mereka tanpa didikan yang sempurna akan menjadikan politik hilang punca dan tidak membawa kepada matlamat yang telah Islam gariskan.


Farid Nazmi
Bangalore
Nov 17, 2009

Saturday, November 14, 2009

Pelbagai Ujian Akan Datang

Saya ingat lagi tazkirah tentang Pemuda Kahfi yang disampaikan oleh sahabat saya. Memang dakwah ini pabila dikenali, maka pelbagai ujian akan datang. Itulah sunnahnya, kita hanya perlu hadapinya dengan tenang dan sentiasa fokus dengan matlamat. Itulah yang akan membawa kita kepada kejayaan insyaAllah.


Farid Nazmi
Bangalore
Nov 15, 2009

Friday, November 13, 2009

Video Promo WC'09 - Episode 2


http://www.youtube.com/watch?v=zCzerm7mu48


Farid Nazmi
Bangalore
Nov 14, 2009

Video Promo WC'09 - Episode 1


http://www.youtube.com/watch?v=xzCey4NxNqk


Farid Nazmi
Bangalore
Nov 14, 2009

Perlu Terus Jadi Lebih Kuat

Perjuangan ini perlu diteruskan. Perlu terus jadi lebih kuat. Walau pun saya tahu saya tidak layak untuk semua ini.

Terima kasih Ya Allah kerana terus menerus memberikan hambaMu ini kekuatan untuk berada di medan ini kerana Engkau Maha Mengetahui apa yang daku mahu perjuangkan. Kerana meniti di jalan tarbiyyah, tidak pernah kenal erti rehat.


Farid Nazmi
Bangalore
Nov 13, 2009

Winter Camp'09 - A New Journey To Embark On






Jom ramai-ramai kita meriahkan!


Farid Nazmi
Bangalore
Nov 13, 2009

Thursday, November 12, 2009

Duri-duri Kehidupan


Para da'ie yang telah memilih jalan dakwah sudah pasti akan diuji dengan pelbagai bentuk ujian. Jalan ini tidak ditaburi dengan bunga-bunga tetapi ia ditaburi dengan duri-duri tajam yang menyakitkan yang akan membantut serta menghalang perjalanan para pendakwah. Inilah jalan yang telah ditempuhi oleh Rasulullah saw dan para sahabat serta generasi terdahulu yang mengikut jejak langkah mereka.

As-syahid Imam Hassan Al-Banna berkata: "Ketidakfahaman rakyat pada hakikat Islam akan menjadi ujian kalian. Ulama' rasmi pemerintah akan menjadi musuh kepada kalian. Setiap pemerintah berusaha membatasi amal kalian dan memasang halangan di jalan yang kalian tempuh. Mereka akan meminta bantuan dari manusia yang berjiwa lemah dan berhati sakit. Sebaliknya akan berlaku kasar kepada kalian. Kerana itu kalian akan dipenjara, disiksa, diusir, rumah-rumah kalian digeledah, harta kalian dirampas dan tuduhan keji dilontarkan dengan harapan dapat mengurangkan wibawa kalian. Kemungkinan ujian ini akan berlangsung dengan lama. Sedarilah, saat itu kalian baru mula menapakkan kaki di jalan yang telah ditempuh oleh para mujahid"

Jika kita mampu bersabar, bertahan serta terus thabat dengan ujian-ujian tersebut, ketika itu barulah kita mula menapakkan kaki kita di jalan dakwah yang sebenar. Ujian-ujian itu adalah duri-duri kehidupan sebagai seorang da'ie. Bunga-bunga kehidupan di dunia hanya bersifat sementara. Kurnia Tuhan di sana kelak itu lebih baik dan lebih kekal.

Ayuh para da'ie, persiapkanlah diri kalian untuk menempuh duri-duri tersebut!


Farid Nazmi
Bangalore
Nov 12, 2009

Wednesday, November 11, 2009

Setiap Kesusahan Itu Akan Datang Bersama Kesenangan Dan Kemanisan

Alhamdulillah, program yang dirancang sebelum ini selamat dilaksanakan pada penghujung minggu lepas.
Medicine Coffee Shop
Moments For Palestine 3
Saya sedia maklum, bukan mudah untuk mengadakan aktiviti-aktiviti sedemikian. Masa terpaksa dikorbankan, dan duit juga harus dihulurkan untuk merealisasikan matlamat kita. Akan ada kesusahan namun setiap kesusahan itu akan datang bersama kesenangan dan kemanisan.

Jutaan terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung mahu pun tidak. Jutaan penghargaan buat mereka yang memberikan sokongan. Moga Allah swt membalasnya dengan sesuatu yang tidak kita sangkakan.



Jazakallah.

Farid Nazmi
Bangalore
Nov 11, 2009

Friday, November 6, 2009

Perjalanan Masih Lagi Jauh

Entah mengapa hati ini terasa sangat hiba ketika menunaikan fardhu Isya' di masjid tadi. Selesai sahaja solat, tangan ditadah namun lidah terkelu ~ tidak tahu apa yang mahu dipohon. Hanya air mata yang mengalir.

Terkesan dengan sifat Maha Penyayang Allah swt. Seringkali menzalimi diri sendiri, namun Dia tetap berada di sisi. Syukur padaMu ya Allah kerana masih lagi menyintai diri ini.

Perjalanan masih lagi jauh. Dan tidak tahu bilakah pengakhiran kepada perjalanan tersebut. Tidak boleh terus berada di takuk lama. Harus segera bangkit dan terus bangkit.

Mohon kekuatan, pimpinan serta redhaMu wahai Tuhan sekalian alam. Dan thabatkanlahku di jalanMu.


Farid Nazmi
Bangalore
Nov 6, 2009

Thursday, November 5, 2009

Apa Lagi Yang Kita Tunggukan?

Adakah benar jika saya katakan bahawa sebahagian besar masyarakat Muslim di seluruh dunia mengambil Islam itu hanya pada ibadah khusus sahaja seperti menunaikan solat fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat dan melaksanakan ibadah haji. Bagi mereka yang ada rezeki lebih pula, mungkin duit itu mereka salurkan dalam bentuk kebajikan. Mungkin benar dan mungkin tidak.

Namun syukur itu tetap dipanjangkan kepadaNya kerana sekurang-kurangnya mereka masih menunaikan kewajipan mereka sebagai hamba Allah swt. Hanya Dia yang layak untuk menentukan siapa yang layak menerima payung redhaNya.

Apa yang saya mahu ingatkan di sini hanyalah; agama itu tidak hanya terhenti di situ sahaja. Kesyumulan itu ada pada Islam. Dari saat pertama kita bangkit daripada tidur hinggalah ke saat terakhir sebelum kita kembali tidur, semuanya adalah beragama jika kita memahami konsep sebenar hidup beragama.

Ramai yang melihat, pabila kita menjadi seorang yang hidupnya penuh dengan nilai 'keagamaan', kita akan menjadi seorang yang ketinggalan dan tidak mampu untuk mencapai kejayaan yang besar di dunia. Persepsi sebegini, seharusnya kita pecahkan. Kita perlu tunjuk bahawa dengan hidup beragama, kita dapat pergi jauh, sejauh di luar jangkauan kita. Dengan hidup beragama, kita akan beroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia begitu juga di akhirat kelak insya Allah.

Sejarah telah membuktikannya. Apa lagi yang kita tunggukan? Ayuh pemuda Mukmin, tugas ini terletak pada bahu kita. Siapa lagi yang mahu lakukan kalau bukan kita!


Farid Nazmi
Bangalore
Nov 5, 2009

Wednesday, November 4, 2009

Moments For Palestine 3: Al-Aqsa Di Dalam Bahaya, Di Manakah Salahuddinnya?



Keperitan mereka adalah keperitan kita
Kesengsaraan mereka adalah kesengsaraan kita
Dan perjuangan mereka adalah perjuangan kita.


Ayuh para Muslim, bangkitlah kalian daripada 'tidur yang lena'!

Farid Nazmi
Bangalore
Nov 4, 2009

Tuesday, November 3, 2009

Niat

Niat adalah teras kepada segala amalan.

Amalan yang baik mestilah disertakan dengan niat yang baik. Amalan yang buruk atau amalan yang baik tetapi dijalankan tidak mengikut syara', tidak membawa apa-apa faedah walau pun dilakukan dengan niat yang baik. Demikian juga amalan yang baik jika diniatkan bukan kerana Allah swt, contohnya kerana mahu menunjuk-nunjuk atau kerana suatu tujuan duniawi walau pun nampak keharmonian pada amalan tersebut, maka ia tidak memberikan apa-apa faedah.

Ulama' ada berkata:
'Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi besar dan suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat.'

Sesuatu amalan itu dibalas berdasarkan niat pelakunya.


Jazakallah
Farid Nazmi
Nov 4, 2009

Monday, November 2, 2009

Tahniah

Alhamdulillah.

Ucapan tahniah mahu ditujukan buat mereka yang telah terpilih untuk mengemudi Malaysian Student Association(MSA) Bangalore.

Kepercayaan telah diberikan buat anda semua untuk menjadi perwakilan kami. Laksanakanlah amanah dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.

Perbaharuilah niat. Insya Allah, moga mendapat pimpinan serta berkahNya.


Farid Nazmi
Bangalore
Nov 2, 2009