Sunday, November 29, 2009

Erti Sebuah Pengorbanan



Di bumi Palestin, Nabi Ibrahim as dikurniakan cahaya mata pertama yang dinamakan Ismail as setelah usia baginda menjangkau 86 tahun. Belum pun puas bermanja dengan anaknya, Allah swt memerintahkan baginda meninggalkan keluarga iaitu isteri yang dicintai Hajar dan anak yang disayangi Ismail as ke sebuah kawasan yang sangat jauh dari Palestin iaitu Mekah al-Mukarramah. Sebagai seoarng hamba yang taat kepada perintah Tuhannya, naginda dengan sepenuh pengorbanan terus melaksanakaannya tanpa lengah.

Dapatkah kita bayangkan bagaimana perasaan seorang isteri yang ditinggalkan bersama anak yang baru lahir oleh suami yang dicintainya? Setelah beberapa tahun, apabila Nabi Ismail a.s. sudah agak besar dan mampu bekerja bersama-sama ayahnya, dating pula perintah Allah supaya Nabi Ibrahim a.s. menyembelih anak kesayangannya itu.

Dapatkah kita gambarkan hati seorang ayah yang diperintah untuk ‘mengorbankan’ anak kesayangannya setelah berpisah sekian lama?

Dapatkah pula kita selami sanubari seorang anak yang telah lama ditinggalkan bersama ibu, tiba-tiba ayahnya muncul untuk menyembelihnya?

Sahabat yang dikasihi sekalian,

Allah swt menukilkan peristiwa besar ini dalam Al-Quran, Surah Ash-Shaffat, ayat 102:

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar"

Sesungguhnya peristiwa tersebut merupakan satu peristiwa yang besar, manifestasi sebuah pengorbanan agung dalam mentaati perintah Allah. Peristiwa yang berlaku pada tanggal 10 Zulhijjah ini jugalah yang 'dirayakan' oleh umat Islam seluruh dunia pada setiap tahun. Benar, kita merayakan 'yaum an-Nahar' setiap tahun. Tetapi, berapa kerapkah kita menghayati peristiwa agung ini?



Kita manusia adalah hamba Allah. Hakikat seorang hamba adalah kepatuhan secara total terhadap perintah tuannya tanpa merasa keberatan, walaupun rahsia atau hikmah di sebalik perintah tersebut tidak difahami. Seorang hamba tidak berhak untuk mempersoalkan aptah lagi untuk engkar akan perintah tersebut. Firman Allah swt: "Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata" (Al-Ahzab: 36)

Seperti mana yang telah saya timbulkan pada post yang lepas, Islam bukan sekadar beberapa perlakuan ritual atau 'aktiviti keagamaan' yang wajib dilaksanakan secara membuta-tuli. Sebaliknya, Islam adalah agama praktikal yang berpengaruh di dalam kehidupan manusia. Islam bermaksud ketundukan yang sepenuhnya kepada syariat Allah.

Seorang muslim tidak mempunyai pilihan, kecuali menjadikan keseluruhan hidupnya di bawah naungan syariat Allah yang sempurna. Sekiranya seorang muslim itu memilih untuk hidup di luar syariat, maka pada hakikatnya dia bukanlah seoarang Muslim, walaupun dia mengaku beriman. Firman Allah swt: 'Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang kafir." (Ali-Imran: 32)

Konsep ketundukan total kepada peritnah Allah ini tergambar jelas daripada peristiwa Nabi Ibrahim as seperti mana yang telah diceritak di atas.

Ketundukan inilah yang menyebabkan Hajar bersabar dengan ujian ditinggal oleh suami tercinta di lembah yang tandus bersama anaknya yang masih kecil.

Ketundukan inilah yang menyebabkan Nabi Ibrahim as sanggup menyembelih anak yang amat disayangi.

Penyerahan inilah juga yang mengakibatkan Nabi Ismail as bersedia dikorbankan demi memenuhi perintah Allah swt.

Ini semua mereka lakukan dengan penuh patuh walaupun mereka tidak mengetahui hikmah di sebalik perintah tersebut. Adakah kita menghayati hakikat ketundukan total ini dalam kehidupan kita?

Kebanyakan umat Islam hari ini amat jauh dari hakikat ketundukan ini. Mereka tenggelam dengan gaya hidup barat yang berkiblatkan nafsu. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan menjadi syi'ar mereka. Gejala perzinaan, perlakuan sumbang dan kelucahan berleluasa dalam masyarakat sehingga kanak-kanak sekolah pun tidak 'kebal' daripada kerosakkan ini. Golongan muda lebih mengutamakan hiburan daripada menimba ilmu. Mereka lebih gemar membuang masa dengan melepak di gedung-gedung membeli-belah mahu pun bersiar-siar di taman-taman, atau menjadi mat rempit di jalan raya.

Kehidupan 'glamour' artis-artis menjadi idaman pemuda-pemudi Islam. Pada masa yang sama, masyarakat secara keseluruhannya seolah-olaj menerima semua gejala ini sebagai sesuatu yang normal. Ditambah pula dengan keghairahan syarikat-syarikat penyiaran dalam mempromosikan budaya hidup yang asing ini melalui program-program bercorak hiburan yang melampau.

Semua ini menggambarkan suasana masyarakat yang jauh daripada hidayah yang tiada bezanya dengan masyarakat kafir di negara-negara barat. Masyarakat Islam lupa akan 'risalah' yang diamanahkan oleh Allah swt ke atas bahu mereka. Tidakkah mereka membaca Al-Quran ? Firman Allah swt: 'Kamu (wahai Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik' (Ali-Imran: 110)

Ya... kita adalah umat yang terbaik! Kita adalah umat yang memimpin, bukannya dipimpin. Kita adalah umat yang sepatutnya mencorakkan perjalanan dunia! Malangnya, umat Islam hari ini lupa akan hakikat ini, lalu mereka redha hidup dalam kehinaan.

Islam adalah manifestasi ketundukan total kepada Allah swt sebagaimana yang digemburkan melalui kisah keluarga Nabi Ibrahim as. Ketundukan yang didasari aqidah dan keimanan bulat yang mantap. Hakikat ini patut kita hayati setiap kali kita menyambut tanggal 10 Zulhijjah!

Sesungguhnya, pengorbanan Nabi Ibrahim as dan keluarganya dalam menurut perintah Allah swt adalah contoh terbaik untuk kita jadikan suri tauladan. Umat ini hanya akan bangkit melalui jalan yang ditunjukkan oleh generasi terdahulu yang telah berjaya di kalangan para anbuya', para syuhada' dan para solehin, Sesungguhnya adalah kehendak Allah swt bahawa agama ini akan kembali mentadbir dunia sebagaimana yang telah berlaku dahulu. Walau bagaimanapun, telah menjadi sunnatullah, bahawa setiap kemenangan memerlukan pengorbanan. Pertolongan dan ganjaran Allah swt pasti akan datang, asal sahaja kita melaksanakan segala perintah Allah swt dengan penuh kepatuhan dan ketundukan.

Firman Allah swt: 'Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.'

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Hari ini adalah hari kedua masyarakat Islam Bangalore menyambut Hari Raya Aidil Adha. Suasana raya masih tetap terasa walaupun tidak semeriah sambutan di tanah air. Betul, kitalah yang mewujud dan mengawal suasana. Kita berupaya untuk mengubah persekitaran jikalau kita mahu, dengan izinNya.



Seperti tahun-tahun yang sudah, masyarakat melayu kita di Bangalore menunaikan ibadah qurban. Alhamdulillah tahun ini juga kita mendapat sambutan yang hangat. Saya sendiri turut menunaikan ibadah qurban. Tahun ini bertekad tidak mahu mengambil bahagian qurban sepenuhnya kerana tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama, pembaziran berlaku di mana daging menjadi busuk dan akhirnya terpaksa dibuang. Kali ini, kuantiti daging yang saya peroleh tetap banyak hasil daripada pemberian masjid berdekatan dengan rumah saya. Banyak sehingga tiada tempat untuk menyimpannya. Untuk menolak sama sekali tidak berdaya. Jadi nampaknya saya serta teman serumah perlu 'menghabiskannya' secepat mungkin. Insya Allah.



Farid Nazmi

Bangalore

Nov 29, 2009

No comments:

Post a Comment