Thursday, December 10, 2009

Salam Perjuangan


Kepada:
Adik-adik Batch 4 yang dikasihi sekalian,

IYA Bangalore di bawah Biro Kerohanian MSA Bangalore ingin mengutuskan Salam Perjuangan kepada kalian semua, dalam menempuh First Internal Assessment Phase 1 yang bakal berlangsung sedari 14 hingga 18 Disember 2009.

Platform kita sebagai pelajar adalah luas, dan ini termasuklah di arena ilmu pengetahuan. Dalam kesibukan mentelaah pelajaran, perintah dan suruhan Allah janganlah kita abaikan. Ingatlah bahawa kejayaan yang kita perolehi bukanlah penghasilan kudrat kita. Tetapi ianya hanya semata kurniaan dan pemberian dari Allah yang Maha Kaya. Ingatlah di dalam Al-Quran, Allah swt berfirman: “Maka apabila manusia ditimpakan bencana dia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan nikmat Kami kepadanya dia berkata, ‘Sesungguhnya aku diberi nikmat ini hanyalah kerana kepintaranku.’ Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Surah Az-Zumar: 49)

Kami doakan agar perjuangan kalian, mengais ilmu sedalam mungkin supaya Islam itu layak dijunjung oleh makhluk Allah bergelar manusia yang telah diamanatkan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Moga Allah swt memperkenankan diri kalian untuk menggunakan khazanah ilmuNya. Diharapkan segala ilmu yang terbuku di dada dapat dizahirkan dalam bentuk amal Islami, bagi mengajak manusia kembali menyembah, tunduk dan taat kepada Allah yang Maha Esa. Moga kita dapat menjadi pemuda-pemudi yang menyambut panji-panji Islam yang pernah dikibar oleh Rasulullah saw, para sahabat dan solafussoleh dan rasul-rasul terdahulu yang giat menyebarluaskan kalimahNya di muka bumi ini.

Peperiksaan ini adalah satu daripada juzuk kehidupan kita yang besar. Kita percaya bahawa ia merupakan salah satu cabang-cabang jihad yang menuntut kesungguhan demi meraih keredhaan Allah. Peperiksaan itu tidak seharusnya menjauhkan kita daripada Allah swt. Segerakan bermuhasabah, mencari silap dan titik alpa sekiranya ia berlaku. Ingatlah, setiap perbuatan itu kita di dunia ini adalah pengabdian kita kepada Allah. Ibadah seharusnya mendekatkan kita dengan Pencipta, bukan sebaliknya. Berusahalah mempersiapkan apa yang termampu sebelum bertempur di medan jihad kelak. Saling membantu sesama rakan dalam adab-adab dan batasan syara’, kepada Ilahi bulatkan segala tawakkal dan pengharapan. Firman Allah: “…Kemudian, apabila engkau membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh Allah mencintai orang yang bertawakkal.” (Surah Ali-‘Imran: 159)

Sesungguhnya tiada yang susah mahu pun senang melainkan Dia yang menentukan segalanya. Peperiksaan bukanlah medan untuk menguji siapakah yang lebih pintar, namun ia adalah suatu medan untuk menguji sejauh mana kebergantungan kita padaNya. Letakkan kepercayaan kalian padaNya. Usah takut, usah gentar.

Islam pernah suatu ketika gemilang dipersada dunia fana’ ini. Ayuh kita bersama mengulang zaman yang pernah terpahat dalam sejarah dunia itu. Bersama kita mengembalikan Islam ketempatnya.

‘Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripada Islam’

Wallahu Walliyut Taufiq.

Selamat berjuang wahai Mujahid dan Mujahidah.

Salam ukhuwah fillah,

Ahmad Farid Nazmi bin Abdul Halim
Pengerusi
IYA Bangalore

No comments:

Post a Comment